Kontrak Sosial
Kontrak adalah perjanjian
formal dengan syarat-syarat tertentu antara dua pihak atau lebih. Ia juga
bermaksud dokumen yang mengandungi syarat-syarat perjanjian atau cabang
undang-undang yang berkaitan dengan kontrak. Sosial pula boleh ditakrifkan
sebagai segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat dan
kemasyarakatan. Oleh itu, kontrak sosial apabila diasimilasikan boleh
ditakrifkan sebagai satu bentuk perjanjian atau permuafakatan yang ditulis dan
ditetapkan oleh undang-undang yang melibatkan semua masyarakat di sesebuah
negara. Ia juga merupakan satu istilah permuafakatan antara kaum yang dicapai
sebelum merdeka melalui satu persetujuan di kalangan rakyat dan pemimpin yang
terdiri daripada kaum Melayu, Cina danIndia. Pemeteraian kontrak sosial ini
juga turut disertai dan dipersetujui oleh parti-parti yang mereka wakili iaitu
UMNO, MCA dan MIC. Istilah ini sebenarnya tidak wujud dalam Perlembagaan
Persekutuan 1957 tetapi dari perspektif lain, kontrak sosial sememangnya wujud
dalam sejarah negara dan permuafakatan yang dicapai itulah yang mentakrifkan
negara Malaysia dan seterusnya menentukan sifat sesebuah Negara.
Kekeliruan Mengenai Kontrak Sosial
Perdebatan mengenai kontrak sosial hangat dibincangkan di
media tempatan apabila akhbar Mingguan Malaysia pada 14 Ogos 2005 menyiarkan
laporan yang memetik ucapan Presiden Parti Gerakan, Datuk Seri Lim Keng Yaik
yang menggesa parti-parti politik di negara ini melupakan formula kontrak
sosial antara kaum kerana ia didakwa membuatkan masyarakat Cina dan India
merasa ‘kecil hati'. Berikutan itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy
Jamaluddin membidas kenyataan tersebut dengan mendakwa ia bercanggah dengan
Perlembagaan Persekutuan. Reaksi serupa daripada kalangan beberapa pemimpin
UMNO turut disiarkan di media.
Datuk Seri Lim Keng Yaik kemudian menafikan beliau membuat
kenyataan tersebut sambil mendakwa bahawa kata-kata beliau telah disalah
tafsir. Bagaimanapun beliau telah memohon maaf secara terbuka dan menjelaskan
bahawa beliau tidak pernah berhasrat mempersoalkan atau menukar formula kontrak
sosial antara kaum yang dipersetujui semasa Negara mencapai kemerdekaan.
Sehubungan dengan itu juga. Kabinet pada 17 Ogos 2005 mengarahkan supaya semua
perdebatan mengenai isu tersebut dihentikan.
Apa Yang Dimaksudkan Dengan Kontrak Sosial?
Kontrak sosial adalah persetujuan yang dicapai sebelum
merdeka di kalangan para pemimpin Melayu, Cina dan India dan parti-parti yang mereka
wakili, UMNO, MCA dan MIC. Bagaimanapun, kontrak sosial harus dianggap sebagai
satu persetujuan di kalangan masyarakat berbilang kaum, bukan hanya pemimpin
atau kumpulan elit tertentu. Permuafakatan itu mendapat sokongan rakyat
sebagaimana yang terbukti melalui kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955.
Rakyat perlu memahami fakta sejarah bahawa kontrak sosial dicapai melalui
proses muafakat dan musyawarah.
Mengapa Isu Kontrak Sosial Timbul?
Isu ini timbul mungkin kerana kontrak sosial ini telah
dibentangkan kepada masyarakat sebagai satu persetujuan antara elit pada masa
tertentu, dalam keadaan tertentu. Ini menyebabkan generasi baru menganggapnya
sebagai tidak lagi relevan. Sebahagian masyarakat bukan Melayu juga
menganggapnya kontrak sosial sebagai sesuatu yang dikaitkan dengan
kewarganegaraan. Ia suatu pemberian yang diberikan kepada mereka yang pada masa
itu yang merupakan imigran atau keturunan imigran.Oleh sebab itu generasi bukan
Melayu sekarang menganggapnya sebagai sesuatu yang sudah berlalu. Mereka juga
tahu bahawa hak istimewa masyarakat bumiputera adalah sebahagian daripada
kontrak sosial. Oleh kerana bukan Melayu diberikan kewarganegaraan atas
syarat-syarat tertentu, masyarakat bumiputera pula diberikan perlindungan
melalui fasal-fasal dalam Perlembagaan tentang hak istimewa. Kepada mereka
kompromi ini terikat kepada masa tertentu, jadi mereka tidak nampak relevannya
sekarang.
Adakah Kontrak Sosial Terkandung Dalam Perlembagaan?
Kontrak sosial bukan istilah yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 tetapi permuafakatan yang mewakili semangat Perlembagaan. Dengan adanya kontrak sosial ketika proses ke arah mencapai kemerdekaan, usaha telah dapat dilakukan untuk menggubal Perlembagaan. Ia merupakan muafakat antara kaum yang mewarnai Perlembagaan, persepakatan yang diterjemahkan ke dalam Perlembagaan. Walaupun istilah kontrak sosial tidak ada dalam Perlembagaan tetapi semangatnya ada pada ciri-ciri perlembagaan itu.
Apakah Perkara Penting Perlu Difahami Dalam Kontrak
Sosial?
Rakyat Malaysia perlu memahami kontak sosial dengan jelas
berdasarkan kepada fakta sejarah. Kontrak sosial harus difahami
sekurang-kurangnya tentang hubung kaitnya kepada empat perkara utama iaitu - perlembagaan,
kemerdekaan, hubungan kaum dan sistem pemerintahan negara. Tanpa kontrak sosial
mungkin kita tidak dapat mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 kerana pihak
British ketika itu menjadikan permuafakatan itu sebagai prasyarat. Kontrak
sosial adalah anak kunci kepada hubungan kaum sebagaimana yang termaktub dalam
perlembagaan. Kontrak sosial juga asas kepada sistem pemerintahan yang
menjadikan kita negara demokrasi berparlimen raja berperlembagaan dengan konsep
negeri dan persekutuan.
Apakah Hubung Kait Kontrak Sosial Dengan Negara dan
Bangsa Malaysia?
Perlembagaan Persekutuan diwujudkan hasil daripada kontrak
sosial yang dilahirkan daripada permuafakatan pelbagai kaum di negara ini.
Perlembagaan itulah juga yang mentakrifkan negara kita serta menentukan sifat
bangsa dan negara Malaysia.Malaysia adalah Negara berbilang kaum yang wujud
daripada konsep Malay polity atau sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan
Persekutuan pada tahun 1957 memberikan kewarganegaraan terbuka kepada bukan
Melayu, sebahagiannya imigran dan diterima secara automatis sebagai warga Negara
dan diberikan jus soli.Inilah antara sifat negara dan bangsa Malaysia yang
harus difahami - berbilang kaum tetapi berakar umbi dalam sistem kenegaraan
Melayu. Perlembagaan juga mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,
Islam sebagai agama rasmi dan sistem pemerintahan beraja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan